" MAKLUMAN SEMASA"

Anda dialu-alukan untuk memberikan sebarang komen dan cadangan serta maklumat-maklumat yang berkaitan diruangan komen anda.

Sabtu, 21 Mei 2011

Bekas Murid PPKI SKBE1

Kasih ibu didik anak SD berdikari

HABIBAH JAAFAR, 56, tersenyum lega mendengar ucapan tahniah daripada doktor. Akhirnya, bayi bongsu yang dikandung selama sembilan bulan selamat dilahirkan secara normal.

Kelahiran seorang bayi perempuan disambut dalam suasana yang bahagia memandangkan lebih sedekad rumah wanita kelahiran Muar, Johor itu tidak mendengar tangisan anak kecil. Namun, kegembiraan itu direntap seketika dengan khabar mengejutkan daripada doktor.

"Anak saya menghidap sindrom Down (SD). Saya sedikitpun tidak berasa kecewa tetapi, hati menjadi sayu apabila memikirkan adakah SD akan menyebabkan anak saya tidak boleh berjalan?

"Namun, segala kekusutan yang berselirat dalam fikiran dilerai satu persatu oleh doktor yang banyak membantu dari segi sokongan moral dan informasi kesihatan.

"Dia turut menerangkan bahawa anak-anak SD mampu menikmati kehidupan yang baik sekiranya dilatih dan dididik seperti individu normal," imbas Habibah, yang merujuk kepada puteri bongsunya, Nassuhada Ngasri, 16.

Meskipun begitu, Habibah melihat Nassuhada memiliki personaliti menghiburkan. Puterinya yang mesra disapa sebagai Baby itu dikatakan suka menari, menyanyi dan mesra diajak berbicara.

Pada masa yang sama, dia rajin mengemas rumah dan pembersih. Setiap hari Baby memastikan kamar tidurnya dikemas dan helaian baju dilipat serta disusun teratur di dalam almari.

Sekiranya tidak mempunyai agenda di luar rumah, Baby lebih selesa bersantai di dalam bilik bacaan. Kadangkala dia sanggup menghabiskan masa sehari suntuk membaca buku, menulis dan belajar menerusi perisian akademik di komputer riba miliknya.

"Sejak kecil saya melatih Baby berdikari dan melakukan aktiviti sama seperti kakak dan abangnya. Ini penting bagi meningkatkan keyakinan diri dan sekali gus mengelakkan Baby berasa terpinggir. Saban hari kami sekeluarga tidak jemu-jemu memberi kata-kata motivasi kepada Baby bahawa dirinya pemberian Tuhan yang istimewa dan penyeri keluarga," ujar Habibah.

Anak istimewanya itu mudah dijaga dan menurut kata. Kehidupannya banyak dihabiskan bersama keluarga dan di sekolah. Baby juga tidak cerewet dan tidak sesekali keluar rumah tanpa ditemani keluarga.

Menginjak usia tujuh tahun, Baby dihantar ke Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Batu 4 Jalan Ipoh, Kuala Lumpur supaya dia bergaul dan belajar bersama rakan-rakan senasibnya.

"Tapi, sesi persekolahan itu bertahan selama dua tahun saja. Alasan Baby, dia enggan ke sekolah kerana berasa pelik melihat wajah yang kawan-kawan sama seperti wajahnya," ujar Habibah yang juga merupakan ibu kepada pelakon Nasliza, 38; Naszeli, 37; Nasrizal, 31, Nasreen, 28 dan Nasriah, 27.

BABY bukan sahaja boleh menguruskan diri sendiri bahkan, melakukan kerja rumah seperti melipat kain dan menyapu sampah.


Suka ke sekolah

Sementara itu, Baby yang kelihatan ceria dalam persalinan baju T warna jingga dan berseluar jean itu, tersenyum setiap kali mendengar pujian ibunya.

Menyedari dilahirkan berbeza seperti adik-beradik yang lain, Baby sedikitpun tidak berasa rendah diri. Sebaliknya, bersyukur kerana dikelilingi insan yang menyayanginya sepenuh hati.

"Abang dan kakak selalu memenuhi keperluan saya. Mereka kerap membawa saya bersiar-siar tanpa rasa malu dengan pandangan orang sekeliling. Jika tiada kelas atau latihan pementasan teater saya suka menemani Darling (Nasreen) ke pejabat," tutur Baby yang kini bersekolah di Vokasional Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM), Jalan U-Thant, Kuala Lumpur.

Sambil membetulkan rambutnya yang paras bahu itu, Baby yang pernah membintangi drama bertajuk Harijadi Su dan Istimewa memberitahu, setiap hari dia teruja untuk ke sekolah. Dia enggan melepaskan peluang belajar memasak, kelas berlakon, menjahit dan kelas rumah tangga.


untuk baca berita penuh sila klik sini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan