" MAKLUMAN SEMASA"

Anda dialu-alukan untuk memberikan sebarang komen dan cadangan serta maklumat-maklumat yang berkaitan diruangan komen anda.

Khamis, 31 Mac 2011

PROGRAM RIMUP

RIMUP ialah Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan. Ia bertujuan bagi melahirkan insan-insan yang berlainan kaum, agama, dan budaya dapat hidup dan bekerja bersama dengan harmonis supaya mewujudkan masyarakat dan negara yang aman dan damai.

RIMUP memberi peluang kepada guru-guru dan murid-murid dari sekolah berlainan aliran dapat berintegrasi dengan aktifnya dan positifnya. Sebanyak RM1000.00 diperuntukkan bagi setiap sekolah bagi menjalankan aktiviti-aktiviti tersebut.





Sekolah Kebangsaan Batu 4(1) dipasangkan dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lai Chee sejak tahun 2007 lagi...Beberapa aktiviti telah dijalankan dengan jayanya mahupun menjaringkan hubungan antara cikgu ataupun murid. Antaranya adalah Perayaan Hari Kanak-kanak dan Hari Sukan Sekolah....dan tahun ini kedua-dua sekolah akan bergabung sekali lagi bagi menjayakan aktiviti sukaneka...

Aktiviti sukaneka ini akan berlangsung pada 9.4.2011 iaitu pada hari sabtu akan datang...pelbagai acara sukaneka telah dirancang untuk disertai oleh murid sedua-dua sekolah nanti...

Harapan pihak sekolah agar aktiviti ini akan terus memupuk semangat perpaduan diantara kedua-dua sekolah dan murid...

Rabu, 30 Mac 2011

Ahad, 20 Mac 2011

Tetamu Istimewa

Cerpen: Tetamu Istimewa
Oleh Mohd Helmi Ahmad

2010/07/24

KATA Emak semenjak Adik pulang dari sekolah, dia sentiasa mengurungkan diri di dalam rumah, tidak mahu keluar bermain mahupun menghirup udara. Umurnya baru berusia lapan tahun, agak janggal bagi kanak-kanak yang seusianya tidak memanfaatkan waktu itu untuk bermain. Agak rugi kiranya dilepaskan begitu sahaja. Bukan senang untuk memperuntukkan waktu sebegitu. Masa tidak akan berpatah kembali. Apa yang ada harus diharungi. Begitulah perjalanan hidup.

Adik pulang dari sekolah. Pakaian seragam sekolah dibuka. Kasut dibiarkan terbengkalai di depan pintu. Stokin yang masam-masam itu diletakkan di atas meja kopi. Beg sekolah dicampakkan di atas kusyen. Emak yang sibuk memasak ketika itu tidak menghiraukan gelagat Adik. Adik terus mengurung diri di dalam bilik. Ada tetamu yang dibawa balik dari sekolah kata Emak. Tetamu itu tidak dipelawa untuk datang, tetapi mahu juga mengikut Adik pulang.
Adik tidak kenal akan tetamu itu, bercakap pun tidak, inikan pulak untuk bertanya khabar. Apa yang menghairankan Emak kenal akan tetamu yang tidak diundang itu. Seolah-olah sudah serasi dengan Emak, walaupun sebelum ini tidak pernah berkunjung ke rumah kami. Tetapi kata Emak tetamu yang ini lain sedikit sikapnya, dia tidak meminta makan dan minum. Dia hanya minta untuk tumpang tinggal sahaja di rumah kami. Dia mahu berlindung dari hujan panas. Dia mahu tinggal bersama Adik. Dia mahu berkawan bersama Adik. Dan juga dia mahu bermain bersama Adik. Tetapi Adik tidak mahu berkawan dengannya. Adik tidak mahu bermain dengannya. Malahan Adik tidak mahu berkongsi bilik dengannya. Adik rimas. Setiap kali tetamu itu menyondol-nyondol ke tubuhnya Adik, dia akan rasa rimas, gatal merenyam dan tidak selesa. Setiap kali itu juga Adik akan menangis. Meronta-ronta menyeru tetamu itu pulang saja ke rumahnya. Tetapi tetamu itu masih tegar untuk tidak mahu pulang.
Seketika cuma Adik, tenang. Tetamu itu tidak mengganggunya. Namun semenjak itulah Adik tidak lagi ke sekolah. Kawan-kawannya yang lain tidak mahu berkawan dengannya lagi. Dikatakan Adik seorang yang sombong. Tidak mahu berkawan dengan mereka. Adik hanya berkawan dengan tetamu barunya itu saja. Adik pentingkan diri sendiri. Adik hanya tahu mengurung diri di dalam rumah. Dah macam anak dara. Sementelahan itulah adik hilang banyak kawan. Pelajarannya juga terganggu.

Terang-terang tangan Emak sudah menyediakan sarapan. Nasi lemak bungkus bersama teh kepada kami. Adik sudah pun bangun. Tetamunya juga begitu. Emak membuka bungkusan nasi lemak itu. Kemudian Emak menyuapkan nasi ke mulut Adik. Adik nganga lalu menelan setiap butir nasi yang masuk ke dalam mulutnya. Kami adik beradik yang lain hanya melihat sahaja. Layanan Emak kepada Adik lain sekali. Sebelum ini Adik tidak mahu dilayan sebegitu rupa. Adik sudah besar. Tidak suka diperlakukan macam budak-budak lagi. Adik sudah boleh makan, mandi dan uruskan diri sendiri. Tanpa bantuan Emak lagi.

Adik malu jika kawan-kawannya melihat Emak mandikan Adik. Suapkan makan ke mulutnya. Tetapi pagi ini Adik tidak membantah. Adik seakan rela. Kami menganggapkan bahawa Adik hanya mahu menunjuk-nunjuk kepada tetamunya itu. Dia tidak mahu Emak melayan tetamunya itu seperti Emak melayannya sewaktu kecil-kecil dahulu. Adik akan rasa cemburu. Adik merasakan hanya dia seorang yang wajar menerima layanan seperti itu.

Selepas makan, Emak memandikan Adik pula. Emak mencampurkan sedikit air yang berada di dalam botol ke dalam besen yang disediakan. Lain sedikit cara memandikan Adik. Sebelum ini Adik hanya dimandikan dengan air paip yang mentah-mentah itu saja, tetapi kali ini Emak memasukkan sedikit campuran air yang dibawa balik oleh Ayah dari rumah Haji Soot. Air itu dalam keadaan keperangan. Kandungannya seperti campuran akar kayu yang telah dihancurkan dan dicampurkan dengan air biasa.
“Air apa ni mak?”

“Ni air penawar.”

“Air penawar?”

“Air penawar ni untuk memulihkan kau.”

Kami adik beradik yang lain curi-curi dengar perbualan Emak bersama Adik. Kami tergelak bersama-sama. Mudah benar Adik ditipu. Ternyata Adik bukanlah seorang yang bijak kerana terang-terang Emak memasukkan sedikit air dari sumber lain kemudian mencampurkan ke dalam air itu. Tujuannya adalah untuk meyakinkan Adik supaya mudah untuk mandi. Adik memanglah seorang yang ketegar untuk mandi. Dia takut dengan air. Seboleh-bolehnya dia akan mandi sehari sekali sahaja. Itupun jika diingatkan Emak.

Tetamu yang mengikut Adik pulang masih tidak mahu pulang. Sudah seminggu dia bertamu di rumah kami. Kawannya adalah dengan Adik. Dia tidak mahu berkawan dengan kami semua. Termasuk Emak.

“Mak boleh Ijam tanya sikit?”

“Ada apa?”

“Kenapa dengan Adik?”

“Kenapa pulak dengan dia?”

“Iyalah kenapa Adik dilayan begitu?”

“Kenapa kamu pun cemburu?”

“Bukannya cemburu, tapi kenapa Adik disuap makannya, dimandikan dengan air penawar?”

“Adik kamu tu sakit.”

“Sakit! Adik sakit apa mak?”

“Dia demam baik.”

“Demam baik!”

Kami adik beradik yang lain ketawa terbahak-bahak. Jawapan yang diberikan Emak kepada kami amat melucukan. Kalau sudah demam baik buat apa lagi susah-susah nak mandikan dengan air penawar. Sahlah jangkaan kami sebelum ini Adik sudah kena tipu. Adik yang dikatakan bijak dalam matematik sebelum ini senang-senang ditipu Emak. Dia tidak dapat mengira setiap butir kata Emak yang membelit akal fikirannya. Jelasnya kemahiran adik untuk menafsir masih pada tahap yang rendah.

Adik menangis lagi. Adik tidak dapat tidur malam. Tidurnya sentiasa diganggu tetamu yang mengikutnya pulang. Kami sudah mengagak Adik hanya pandai bermuka-muka. Sebelah siangnya memanglah Adik buat tak layan sahaja dengan tetamunya itu, sebaliknya pada waktu malam dia akan kembali cergas. Dia seperti burung hantu yang aktif pada waktu malam. Dia akan bermain-main dengan tetamunya itu. Dia akan berkawan dengan tetamunya itu. Sehinggalah lewat malam. Pandai sungguh Adik bersandiwara.

Apabila sudah letih, sendi-sendinya akan terasa lenguh. Badannya akan terasa gatal-gatal. Tenaganya sudah tentu kehabisan ketika bermain bersama tetamunya itu. Kulitnya akan mudah dinaiki bintil-bintil kemerahan. Keadaan itu disebabkan peluh yang berlinangan di badannya. Angin sukar menyelinap masuk ke bilik Adik. Jadi keadaan bilik Adik terpeluwap.

Setelah Adik kalah dalam permainannya Adik akan menangis. Adik akan meronta-ronta. Sudah agak dah Adik macam itu. Hanya dia seorang yang boleh menang. Orang lain tidak akan berpeluang jika bermain dengan Adik.

“Kenapa ni Adik?”

“Badan Adik gatal-gatal.”

“Itulah mak cakap jangan main sampai lewat malam. Nanti gatal-gatal susah.”

“Adik tak main apa-apa pun.”

“Dah mari sini mak tengok!”

Kami sekali lagi terkesima. Bualan Adik bersama Emak seakan tidak masuk akal. Sekali lagi Adik ditipunya Emak hidup-hidup. Tabiat Adik yang sukar diubah adalah suka tidur lewat. Sewaktu usianya ini tidak elok baginya berjaga lewat malam. Kesihatannya akan mudah terganggu. Keesokannya apabila Adik ke sekolah Adik akan mengantuk. Mata Adik akan jadi merah. Mahu tidak mahu Adik akan tidur di dalam kelas. Dia tidak akan dapat menumpukan perhatiannya terhadap pelajaran lagi.

Keesokannnya Emak tidak lagi menggoreng ikan dan menumis masakannya. Emak hanya merebus ikan yang dibeli Ayah. Ikan itu direbus semata-mata untuk menjamu Adik dan tetamunya. Kami gelisah. Ternyata Adik dan tetamunya itu betul-betul menyusahkan. Makan minum Adik dan tetamunya dijaga begitu rapi. Tidak boleh silap sedikit. Emak sangat berhati-hati dalam menyediakan makanan kepada Adik.

Sebelum ini Emak tidak mengambil kisah akan bab-bab masak-memasak ini. Maksudnya Emak akan memasak mengikut cita rasanya sahaja. Tapi lain untuk kali ini. Lauk mesti direbus setiap hari. Emak tidak akan menggoreng lauk lagi. Tidak ada lagi masakan yang melibatkan tumis-menumis. Semuanya rebus semata-mata. Dikatanya jika Emak menumis, tetamu Adik akan meronta-ronta. Keadaan ini menyebabkan Adik turut meronta-ronta juga. Emak tidak sanggup melihat Adik dalam keadaan itu. Sangat terseksa.

“Adik kamu tu demam biji. Tak boleh sembarangan. Nanti merebak susah. Mak kena jaganya baik-baik.”

Kelucuan yang Emak ciptakan sememangnya menggeletek perut kami. Seketika itu kami ketawa tidak henti-henti. Seakan mahu pecah perut dibuatnya. Sekejap demam baik, sekejap demam biji. Mana satu yang betul pun tidak tahu. Orang-orang dulu ada-ada saja istilah yang diciptakan. Melihat saja badan penuh dengan bintil-bintil dikatakan demam biji.

Adik semakin pulih. Dia tidak lagi menangis pada waktu malam. Tidurnya lena dibuai mimpi-mimpi indah. Tetamunya tidak mengganggunya lagi. Sebaliknya Angah pula yang mengurungkan diri di dalam bilik. Tidak mahu bercakap dengan orang lain. Tetamu Adik itu seolah-olah mahu berkawan dengan Angah. Dia tidak mahu berkawan dengan Adik lagi. Malahan tidak mahu bermain dengan Adik lagi. Agaknya tetamu Adik itu sudah bosan untuk bermain dengan Adik. Tiada permainan baharu yang dimainkan. Dia mahu mencari kawan baharu. Angah adalah orangnya. Sebelum ini Angah menunjukkan minat untuk berkawan dengan tetamu Adik. Angah selalu melawat bilik Adik. Di mana saja Adik berada di situlah Angah juga berada. Termasuk tetamu Adik.

Selepas Adik dan Angah, tetamu Adik itu beralih pula kepada kami sekeluarga. Dia menyondol-nyondol kami semua; dia menyondol punggung Emak, dia menyondol badan Along, dia menyondol kaki dan tangan Ayah. Dan juga dia menyondol muka Emak. Kami semua mengurungkan diri di dalam rumah. Makan ikan rebus setiap hari. Mandi air penawar. Hampir setiap malam tidur kami diganggunya tetamu Adik. Sendi-sendi kami terasa lenguh. Badan kami mudah terasa gatal merenyam. Bintil-bintil kemerahan tumbuh di mana-mana sahaja di tubuh kami semua. Orang kampung mengatakan keluarga Deris sombong belaka. Tidak mahu bertegur sapa. Hanya mengurungkan diri di dalam rumah.

Setelah itu datanglah Kiah Murai melawat kami semua. Sementelahan itu, berita tetamu yang dibawa pulang Adik tersebar ke seluruh pelusuk kampung. Habis semua rumah penduduk kampung dilawati tetamu Adik. Tetamu Adik itu mahu berkawan dengan semua penduduk kampung. Dia mahu bermain-main dengan penduduk kampung. Dia mahu menyondol-nyondol tubuh penduduk kampung. Habis semua penduduk kampung mengurungkan diri di dalam rumah. Mereka sedang bermain-main dengan tetamu Adik.

Sekarang baru kutahu bahawa tetamu yang dimaksudkan Emak. Di tempat kami demam itu dikenali sebagai demam baik, demam biji dan juga demam campak. Sebab itulah tidur malam Adik terganggu. Tidur malam penduduk kampung yang lain juga terganggu. Seluruh tubuh mereka gatal-gatal. Sejurus selepas itu kampung kami dibina sebuah klinik desa untuk merawat penyakit campak yang dihidapi penduduk kampung. Penduduk kampung dinasihati agar membawa anak-anak yang baru dilahirkan untuk pemeriksaan doktor. Kanak-kanak di kampung kami selepas itu diberi suntikan campak bagi mencegah daripada diserang campak. Setelah diberi suntikan campak kampung kami kembali aman damai. Tidak ada lagi tetamu yang datang tanpa diundang.

BIODATA Penulis:

MOHD Helmi Ahmad, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu), di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (2006 -2009), terbabit dalam penulisan puisi, cerpen, drama, novel dan esei. Pernah mendapat bimbingan daripada Prof Madya Dr Lim Swee Tin dan Dr Kamariah Kamarudin.

Johan pertandingan Menulis Esei Bulan Kemerdekaan 2005 anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Aziz.

dan Pertandingan Menulis Esei Pendermaan Organ, Kementerian Kesihatan Malaysia, New Straits Times-Berita Harian 2009 (Kategori Institusi Pengajian Tinggi-Bahasa Malaysia).

Ini rahsia saya

Cerpen: Ini rahsia saya
Oleh Ainunl Muaiyanah Sulaiman

2011/01/02

DIA sudah tidak tahan menanggung rahsia. Ke mana-mana saja dia pergi dirasakan rahsia seolah-olah menggelembung di bawah kerongkongnya. Membulat dan membesar serta siap sedia menerima isyarat untuk meletup.

Dia sudah berjanji, malahan pemberi amanat yang memberinya rahsia itu sudah berkata, “Ingat pepatah Melayu. Biar pecah di perut, bukannya di mulut," dengan nada mengancam dan benar-benar mengugut.
Apabila rahsia yang ditahan di kerongkong itu cuba dialih ke perut, maka rahsia seolah-olah membusung. Sudah berulang kali dia berjumpa doktor tapi doktor pun sudah pening kepala kerana bukan busung punca penyakit, bukan juga apa-apa. Maka ditanya kalau-kalau dia mengetahui puncanya, dia hanya mendiamkan diri, menggeleng perlahan. Hatinya sudah syak, punca penyakitnya adalah kerana rahsia yang diketahuinya itu.

Ketika itu dia rasakan dia mesti lakukan sesuatu. Jika tidak kecelakaan pasti menimpa tubuhnya. Dia harus memberitahu, sekurang-kurangnya seseorang, tetapi siapa? Kata itu kota, janji itu panji.

Seharian dia di hadapan komputer. Masih lagi memikirkan penyakit busung akibat menanggung rahsia menjadikan dia sudah tidak khusyuk bekerja. Dibulatkan hatinya, dicipta satu laman menggunakan kepakarannya sebagai pakar IT. Laman itu membolehkannya memberitahu dan menaipkan semua rahsia. Hanya dia saja yang mempunyai capaian ke laman itu.

Setiap hari, dia akan menaipkan sebaris ayat mengenai rahsia yang ditanggungnya. Sungguh hairan hatinya, apabila busungnya semakin hari semakin merosot bulatnya. Semua rahsia yang ditanggungnya telah terbebas di dalam laman yang direka olehnya. Mujur sekali. Laman itu membolehkannya membocorkan rahsia, tetapi tidak dianggap membocorkan rahsia. Dia mengurut-urut kepalanya yang dirasakan sungguh bijak.
Suatu pagi selepas penyakit busungnya benar-benar sembuh dan dia sudah menaip semua rahsia yang diketahuinya, dia membuka laman 'Ini Rahsia Saya' dan matanya benar-benar terbuntang. Seluruh perisian laman webnya telah dimasuki virus, komputernya juga begitu. Segala kepakarannya dalam IT digunakan untuk menyelamatkan data komputernya sehingga dipanggil kawannya yang genius dan hasilnya tetap nihil. Gagal.

Lalu atas nasihat temannya, dia memformatkan kembali komputernya dan berharap penyakit busungnya tidak kembali lagi selepas laman web itu terhapus bersama komputernya. Seminggu dia terputus daripada dunia luar selepas komputernya dihantar untuk dibaiki. Dalam masa seminggu, dia masih boleh tidur dengan lena dan penyakit busungnya tidak menyerang.

Kemudian entah bagaimana, selang beberapa hari kawan si pemberi rahsia datang ke rumah dengan muka merah padam, pantas mencekik lehernya sehingga hampir keputusan nafas dan berteriak garang.

"Kenapa kaubocorkan rahsia? Kenapa?"

Sukar untuk menerangkan pada naga ganas, seperti kawannya itu. Berkali-kali dia berkata, dia tidak pernah membocorkan rahsia dalam desah nafas yang sukar.
Kemudian kawannya terus saja membuka komputer bimbitnya dan ditunjalnya komputer itu di mukanya. Matanya membulat membeliak melihat perisian laman web yang difikirkan telah terkubur bersama komputer yang diformat. Malah terang-terangan boleh diakses dengan mudah oleh sesiapa sahaja. Ada yang mencipta akaun di lamannya dan menggunakan laman Ini Rahsia Saya secara besar-besaran.
Rupa-rupanya selama seminggu dia terputus daripada hubungan luar akibat kerosakan pada komputer membuatkan dia tidak tahu bahawa cacing virus dengan kejamnya telah menyebarkan laman sosial ciptaannya melalui e-mel itu dan menjadikan akaunnya tidak lagi privasi. Apabila diselidik laman web tersebut, sudah lebih daripada 20 ribu pembuka akaun dan berderet komen telah ditulis kepada rahsia-rahsianya itu.

Kawannya mahu sahaja berterusan mencekiknya dan dia pantas mengelak. Dia terus mengaku membangunkan laman sosial itu, tetapi tidak bermaksud menjadikannya umum kepada orang awam. Diadukan punca laman web itu dibuka, perihal penyakit busung yang menyerang akibat rahsia yang disimpannya. Dipohon simpati dan ihsan daripada temannya tetapi kawannya tidak endah, malahan bertambah gelisah.

“Ini rahsia pemimpin tertinggi kerajaan. Sekarang rahsia itu telah diketahui. Kita dalam bahaya. Ketua kerajaan telah dimalukan secara habis-habisan. Nyawa kita dalam bahaya.”

Sesudah perkataan bahaya disebut, dilihat kereta polis memasuki laman rumahnya dan beberapa orang polis telah menemui dia dan kawannya. Mereka dikehendaki menemui ketua kerajaan dan didakwa membangunkan laman sosial yang menggugat keselamatan negara.

Kawannya benar-benar terkejut dan dia bermati-matian tidak mengaku bersalah. Terusan kawannya menuduh dirinya yang membangunkan laman web tersebut. Tetapi polis-polis itu seolah-olah tidak endahkan mereka berdua. Malah polis menuduh rakannya turut bersubahat kerana nama rakannya terang-terang disebut sebagai sumber rahsia tersebut.

Lalu di dalam kereta polis dan siren bersahut-sahutan, jiran-jirannya mula menjenguk melihat dia dan rakannya dibawa oleh kereta putih biru itu. Ah! malunya bukan kepalang.

Namun, dia berasa sungguh hairan apabila tidak dimasukkan ke dalam lokap, sebaliknya dibawa ke sebuah pusat pentadbiran. Dia dimasukkan ke dalam sebuah bilik yang lengkap seperti kamar tidur yang cantik seolah-olah mereka tetamu kehormat di pusat pentadbiran itu.

Dia pasti rakannya sudah biasa dengan pusat pentadbiran itu. Malah kerana rakannya yang bekerja sebagai janitor di sinilah, maka semua dia mendengar semua rahsia-rahsia itu dan berakhir di laman web Ini Rahsia Saya. Rakannya kesal bukan kepalang. Asyik-asyik berzikir perkataan kalaulah aku ... kalaulah aku ….

Lama mereka berdua di bilik yang indah itu. Oleh kerana kebosanan yang teramat, dia pantas membuka televisyen dan jam menunjukkan 1.30 dan siaran yang ada hanyalah berita. Waktu itu, dia terdengar namanya disebut oleh pembaca berita berkali-kali sebagai pereka laman web Ini Rahsia Saya yang menjadi kegilaan umum. Ada yang membuat rusuhan kerana laman web itu membenarkan sesiapa saja membuka rahsia dan tidak akan dikenakan tindakan undang-undang. Hanya seminggu sahaja membuatkan beribu-ribu rahsia telah terbongkar. Pemimpin mula hidup dalam ketakutan. Rakyat mula memberontak melalui laman web Ini Rahsia Saya.

Dia sudah berpeluh dingin. Berita jam 1.30 itu hanya memuatkan cerita mengenai laman web Ini Rahsia Saya. Sudah ada dua laporan polis dikeluarkan kepada dirinya kerana memfitnah, mengadu domba dan membangunkan laman sosial yang bersifat melanggar tata susila negara. Nampaknya mereka tidak boleh menerima keterbukaan dalam laman sosial itu kerana membuka aib serta rahsia bukan pegangan mahupun budaya rakyat negara ini.

Dia menepuk dahinya berkali-kali. Hal yang berlaku lebih dahsyat daripada penyakit busung yang menimpanya. Terasa pisau benar-benar di bawah lehernya. Kawannya sudah menyeranah dirinya. Mengutuk nasib yang bakal menimpa mereka sebentar lagi.

Sudah 7 jam mereka dikurung di dalam bilik indah itu. Tiada satu pun orang datang menjenguk mereka. Apa yang boleh dia lakukan hanyalah memasang televisyen dan mengikuti setiap perkembangan mengenai laman web sosial Ini Rahsia Saya. Dia yang paling malas membaca surat khabar, paling culas mengikuti perkembangan berita terkini, bertukar menjadi pendengar berita paling setia.
Malah, saluran khusus untuk berita ditonton tanpa ditukar barang sekejap. Dia benar-benar mahu tahu apakah malapetaka yang menimpa negaranya sekarang berpunca daripada laman sosial yang dibangunkan?

Tiba-tiba pintu bilik mereka dibuka dan beberapa orang pegawai polis menjemput mereka keluar. Kata salah seorang daripada mereka, dia akan dibawa berjumpa dengan ketua pentadbir negara. Kawannya tidak dibawa bersama-sama, membuatkan perutnya terasa benar-benar kecut.

Pertama kali dia berhadapan dengan Ketua Pentadbir Negara. Ketika masuk ke pejabatnya, dilihat seseorang yang sering kali menghias peti televisyen, papan iklan wujud di hadapannya. Malah, Ketua Pentadbir Negara inilah yang rahsianya telah disebarkan melalui laman sosial Ini Rahsia Saya kerana menghidap penyakit kutu di kepalanya sehingga harus membotakkan kepalanya dan memakai rambut palsu. Ketua Pentadbir ini juga yang ditelanjangkan sebagai penghidap kurap di kakinya dalam Ini Rahsia Saya itu dan bukan itu saja yang ditulis olehnya.

Kakinya benar-benar menggeletar. Sudah tentu dia akan dikenakan hukuman berat. Penjara seumur hidup? Oh, dia benar-benar tidak berniat.

“Jadi, kamulah yang membuat laman Ini Rahsia Saya?.”

Dia menelan air liur pahit.

“Ya, saya.”

“Kamu tahu rahsia apa yang kamu bongkarkan?’ tajam mata Ketua Pentadbir Negara menikamnya.

“Tuan, tolonglah! Saya tidak sengaja nak kata kurap di kaki tuan, kepala tuan yang botak atau apa saja yang saya tulis di dalam itu. Saya sudah simpan rahsia di perut tapi jadi penyakit busung, kalau di mulut jadi gelombang macam gelembung macam katak panggil hujan. Tuan, saya tidak sengaja.”

Dia terus menerkam kaki Ketua Pentadbir Negara walaupun dia tahu di kakinya ada kurap. Dia sudah tidak peduli. Janganlah dia dihukum. Seumur hidup, tidak pernah menjejak balai polis sekalipun. Dia tidak sanggup dipenjara atau didenda.

Polis yang mengiringinya terus saja menariknya daripada menyembah-nyembah kaki Ketua Pentadbir Negara. Dia berkali-kali merayu.

“Duduk, duduk sebentar. Bertenang. Saya tidak mahu marah anda, sebaliknya saya mahu berterima kasih.”

Berterima kasih? Dia jadi hairan, bukankah dia yang salah? Runsing fikirannya. Dia mengerutkan dahinya.

“Sudah lama saya berpura-pura di depan umum bahawa saya manusia yang sihat.
Padahal saya ada kurap dan penyakit kutu yang tidak dapat diubati. Sekarang rakyat sudah menerima saya seadanya sebagai manusia seperti mereka juga. Saya juga harus berterima kasih kepada anda kerana laman sosial itu menyebabkan rakyat semakin percaya pada kerajaan kepimpinan saya kerana keterbukaan dalam rahsia. Terima kasih.”

“Tetapi tuan ….”

“Ya, ini zamannya kebenaran menjadikan rakyat percaya bahawa saya dan barisan kepimpinan juga manusia biasa. Rahsia dalam laman menjadikan barisan kepimpinan saya semakin berjaga-jaga dan mengambil langkah yang betul. Malah punca kemenangan besar pilihan raya kecil baru-baru ini kerana laman itu.”

Dia terpinga-pinga dan cuba mengorek telinganya kalau-kalau dia tersalah dengar, tetapi Ketua Pentadbir Negara menyambung kata.

“Pihak kerajaan akan memperuntukkan sejumlah dana untuk pihak anda membangunkan laman sosial itu.”

Dia masih kurang percaya apa yang didengarnya. Tapi itulah kebenarannya.
Selepas menerima amanat daripada Ketua Pentadbir Negara, dia dibenarkan keluar dan melaksanakan misinya.

Ketua Pentadbir Negara tersenyum mengiringinya keluar bilik dan berkata, “Ini rahsia saya, rahsia anda?”

Profil

AINUNL Muaiyanah Sulaiman, anak kelahiran Selangor memilih untuk menulis dalam genre sajak dan cerpen. Mantan Minggu Penulis Remaja 2006. Cerpen dan sajaknya pernah disiarkan dalam Berita Harian, Mingguan Malaysia, Tunas Cipta, Mingguan Wanita, URTV, Harian Metro, Dewan Siswa, Fokus SPM dan Mutiara Minda. Pengarang boleh dihubungi di ainunl.muaiyanah@gmail.com

Gempa Jepun ubah landskap, diramal cetus Zaman Ais baru



Petikan Berita Harian



Gempa Jepun ubah landskap, diramal cetus Zaman Ais baru


BELUM pun igauan ngeri tsunami yang melanda Aceh pada 26 Disember 2004 terhapus sepenuhnya, kita dikejutkan sekali lagi kehadiran bencana yang melumpuhkan Jepun dalam sekelip mata, minggu lalu.
Bermula dengan gempa bumi berukuran 9.0 pada skala Richter jam 2.46 petang waktu tempatan, tsunami pula menyerang dengan kelajuan kira-kira 800 kilometer sejam dengan ketinggian ombak mencecah 10 meter. Malah ketika rencana ini ditulis, selain berdepan ancaman gempa susulan, Jepun turut dihimpit krisis mengawal kebocoran radiasinya apabila tahapnya 10 kali ganda lebih tinggi daripada biasa, berikutan impak gempa bumi kategori mega itu. Lebih menyayat hati, harapan menemui mangsa yang terselamat terus pudar dengan angka korban dan mereka yang hilang, lebih 12,000 orang.
Namun, hakikatnya, gempa bumi terbesar di Jepun dan kelima terbesar dalam sejarah dunia itu bukan hanya menambah fakta mengenai bencana tetapi turut mengubah landskap dan perjalanan bumi ini.

Di Jepun saja, gempa itu menyebabkan Kepulauan Honshu, yang juga bahagian paling besar di negara itu, berganjak sehingga 2.4 meter.

Tidak cukup itu, paksi bumi pula menyendeng 25 sentimeter dan mempercepatkan kadar putaran bumi lebih sejuta mikro saat.

Perubahan lain termasuk sejumlah kerak bumi jatuh menjunam ke dalam retakan atau rekahan sepanjang 402 kilometer yang membuka jurang seluas 9.6 kilometer di bawah Lautan Pasifik. Impak ini seperti diakui saintis Itali dan Amerika Syarikat sebagai lebih besar berbanding gempa bumi yang melanda Sumatera, sebelum ini.
Pakar fizik di City College of New York di Amerika Syarikat, Michio Kaku, pula melontarkan andaian kemungkinan gempa kuat yang mengubah paksi bumi boleh menjadi punca berlakunya Zaman Ais.

“Impak gempa bumi 9.0 dalam kategori mega itu turut menyebabkan pengagihan semula sejumlah besar kerak bumi, memendekkan hari, selain mengubah paksi bumi dan mempercepatkan pusingan.

“Namun, ketika kepantasan putaran bumi dijangka tidak memberi kesan jangka sederhana atau panjang, perubahan paksi mungkin ada impaknya, termasuk menjadi punca pembentukan Zaman Ais.

“Masih ada perdebatan saintifik mengenai apa yang menyebabkan zaman itu tetapi teori utama ialah gangguan kecil pada paksi bumi ketika ia mengelilingi matahari. Perubahan kecil ini yang menggoyangkan paksi dan mungkin menyebabkan Zaman Ais,” kata Kaku yang dipetik media antarabangsa, baru-baru ini.

Zaman Ais atau tempoh glasier ini berlaku secara tidak tetap sejak lebih dua bilion tahun. Pada zaman Ais, lapisan ais terbentuk di sebahagian besar benua atau muka bumi ini dan biarpun punca sebenar perubahan dunia itu tidak diketahui, ada saintis yang mengaitkannya dengan perubahan putaran bumi.

Selain itu, pakar geofizik Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA), Richard Goss, pula berkata, perubahan yang menyebabkan putaran bumi pada kadar 1.8 juta setiap saat atau 1.8 mikrosaat, adalah satu isu kekal yang perlu dihadapi manusia sejagat.

Saintis Britain, Bethan Harris, sebaliknya menyifatkan impak itu sememangnya ada tetapi amat minimum.

“Ia kedengaran banyak tetapi kecil berbanding saiz bumi. Perubahan satu darjah paksi bumi bermakna ia bergerak kira-kira 110 kilometer.

“Bagaimanapun, ia tidak berhenti di situ. Bentuk muka bumi Jepun bergerak sebanyak empat meter. Selepas gempa bumi itu, berkemungkinan hari yang kita lalui 1.8 juta sesaat lebih pendek disebabkan perubahan itu.

“Kita dapat melihat perubahan itu dalam purata panjang hari disebabkan perubahan lain di bumi dan atmosfera,” katanya.

Seorang lagi pakar geofizik Barat, Richard Gross, pula berkata paksi Bumi tidak sama dengan paksi utara-selatan di ruang angkasa yang berputar sekali sehari pada kelajuan kira-kira 1,604 kilometer sejam.

Hakikatnya, ini bukan kali pertama gempa bumi besar mengubah tempoh sehari bumi iaitu 24 jam. Malah ia semakin pendek disebabkan gegaran kuat sebelum ini. Buktinya, gempa bumi berukuran 8.8 pada skala Richter di Chile tahun lalu turut meningkatkan putaran bumi dan memendekkan hari kepada 1.26 mikrosaat manakala gempa bumi 9.1 pada skala Richter di Sumatera pada tahun 2004 memendekkan hari kepada 6.8 mikrosaat.

Apa yang membimbangkan, ada kalangan saintis ini turut mendakwa impak gempa bumi di Jepun itu mungkin belum lengkap sepenuhnya kerana gegaran susulan yang lemah turut berupaya mengubah panjang hari. Sekurang-kurangnya 20 gegaran susulan berukuran antara 6.0 pada skala Richter atau lebih dilaporkan berlaku.

Pakar gempa bumi Tinjauan Geologikal Amerika Syarikat, Dr Daniel McNamara, juga memberi amaran gegaran itu menenggelamkan paras bentuk muka bumi Jepun dan menjadikan sebahagian negara itu kekal di bawah paras laut.

Lima bandar zon gempa

Gempa bumi Jepun minggu lalu turut mendedahkan risiko yang boleh dialami bandar berpenduduk padat terutama di kawasan berisiko tinggi seperti di sepanjang garisan gelinciran.

Berikut lima bandar raya paling berisiko dilanda musibah dahsyat disebabkan kedudukannya yang mana tiga daripadanya di Amerika Syarikat.

  • Tokyo, Jepun
    Wujud betul-betul di persimpangan tiga plat tektonik iatu Plat Amerika Utara, Plat Filipina dan Plat Pasifik. Sejarah panjang ibu negara Jepun itu dan biasa dilanda gempa bumi mendorong bandar raya berkenaan membina perlindungan tektonik ke paras maksimum. Ia juga dikatakan bandar raya paling bersedia di dunia untuk berdepan musibah gempa bumi.

  • Istanbul, Turki
    Gelinciran Anatolian Utara adalah terpanjang di dunia tetapi bandar raya yang menempatkan prasarana lama dan moden itu mendedahkan 13 juta penduduknya dalam risiko tinggi.

    Gegaran berukuran 7.4 pada skala Richter yang melanda Izmit, 101 kilometer dari Istanbul pada 1999 menjadikan bangunan abad ke-20 yang selalunya dibina dengan konkrit bercampur air masin selain tidak menghiraukan kod bangunan, rebah menyembah bumi yang meragut kira-kira 18,000 nyawa.

  • Seattle, Amerika Syarikat
    Berdepan ancaman gempa bumi besar dan letusan gunung berapi Rainier. Ia terletak di atas sempadan tektonik aktif di sepanjang Plat Amerika Utara, Plat Pasifik dan Plat Juan de Fuca. Pemandangan menakjubkan Gunung Rainier sekadar memberi peringatan yang ia adalah gunung berapi ‘tidur’ atau senyap yang boleh mengatasi Gunung St Helen pada bila-bila masa.

  • Los Angeles, Amerika Syarikat
    Sejak lebih 700 tahun lalu, gempa bumi kuat melanda wilayah berkenaan setiap 45 hingga 144 tahun. Gempa bumi besar terakhir berukuran 7.9 pada skala Richter berlaku 153 tahun lalu. Dalam erti kata lain, Los Angeles cuma menanti masa untuk digegarkan dengan satu lagi gempa besar. Gempa bumi seterusnya akan memberi impak buruk, termasuk memberi kesan kepada keseluruhan California Selatan yang didiami penduduk sekitar 37 juta. Bencana alam besar boleh membunuh antara 2,000 dan 50,000 penduduk dan menyebabkan kemusnahan bernilai berbilion dolar.

  • San Francisco, Amerika
    Mempunyai cuma 800,000 penduduk, San Francisco ialah satu lagi bandar raya besar di sepanjang pantai barat Amerika Syarikat yang boleh musnah akibat gempa bumi dan tsunami besar. Ia terletak berhampiran bahagian utara Gelinciran San Andreas. Ada beberapa gelinciran kecil yang terletak di seluruh bandar raya itu, meningkatkan kemungkinan gempa bumi dahsyat akan berlaku.

    INFO: Definisi

  • Gempa bumi: Fenomena gegaran bumi yang berlaku akibat gerakan bumi yang mengalami gelinciran di garis sesaran bumi ataupun disebabkan oleh aktiviti gunung berapi.

  • Tsunami: Perkataan Jepun bermaksud ‘ombak pelabuhan.’ Ia adalah satu fenomena ombak besar yang melanda pantai disebabkan kejadian gempa bumi di dasar laut. Aktiviti di dasar laut seperti tanah runtuh, ledakan gunung berapi, letupan serta hentaman bahan kosmik seperti meteorit juga boleh menghasilkan tsunami.
  • Ahad, 13 Mac 2011

    Cuti Pertengahan Penggal Pertama

    Bermula 12/3 sekolah akan mula bercuti hingga 20/3...kepada Guru dan Murid2, selamat bercuti...

    Jumaat, 4 Mac 2011

    PKBS 1

    Ujian PKBS 1 akan bermula pada 8hb hingga 11hb Mac. Pihak sekolah berharap murid-murid dapat menjawab dengan jayanya...